Monday, January 19, 2009

Israel umum gencatan senjata

GAZA 18 Jan. - Israel telah mengumumkan gencatan senjata dan menghentikan serangan ke atas Genting Gaza hari ini, namun pertempuran tercetus beberapa jam selepas itu, sekali gus menggoyahkan ketenangan sementara yang dinikmati penduduk Palestin selepas 22 hari dibedil rejim Yahudi.
Pada pukul 2 pagi tadi (pukul 8 pagi waktu Malaysia), gencatan senjata berkenaan diluluskan dan mula berkuat kuasa, jet-jet pejuang Israel masih berlegar di ruang udara Gaza namun bunyi senjata api dan letupan sejak tiga minggu lalu tidak lagi kedengaran.
Bagaimanapun jet pejuang Israel melancarkan serangan pertama ke atas sekumpulan pelancar roket Hamas yang telah melepaskan lima serangan roket awal pagi tadi, seterusnya menimbulkan kebimbangan pertempuran bersambung semula.
Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert memberi amaran bahawa gencatan senjata sebelah pihak yang dimulakan beberapa jam sebelum ini adalah rapuh dan dinilai semula dengan kerap.
"Keputusan kerajaan untuk membenarkan Israel bertindak balas dan melancarkan serangan baru ke atas musuh di Genting Gaza sekiranya mereka terus menembak roket.
"Pagi ini mereka sekali lagi membuktikan gencatan senjata adalah rapuh dan perlu dinilai semula minit demi minit. Kami harap serangan dihentikan kerana sekiranya berterusan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) akan bertindak balas. Ia bersedia dikerahkan untuk berbuat demikian," tegas Olmert lagi.
Insiden berlaku ketika Mesir menggandakan usaha diplomatik agar gencatan senjata Israel itu dapat dijadikan perjanjian damai berterusan dengan Presiden Hosni Mubarak mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri pemimpin Britain, Perancis, Jerman, Itali, Jordan, Sepanyol dan Turki.
Menteri Infrastruktur Israel, Benjamin Ben-Eliezer menjelaskan, pertempuran terbaru itu tidak semestinya membawa kepada serangan besar-besaran dan ia mengambil masa dua hingga tiga hari untuk segalanya tamat di mana Hamas perlu faham bahawa senario baru sedang berlaku.
Hamas menegaskan bahawa ia tidak akan menerima kehadiran walau seorang askar Israel pun di Gaza.
"Kami telah jelas menyatakan pendirian: sekiranya askar Israel terus berada di Gaza, maka wujud kemungkinan besar penentangan dilakukan terhadap penjajahan ini," kata wakil Hamas di Lebanon, Osama Hamdan dalam satu temubual dengan Al-Jazeera.
Sementara itu, pasukan perubatan Palestin mengambil kesempatan waktu tenang tanpa serangan untuk menjalankan misi mencari dan menyelamat yang mana berjaya menemui sekurang-kurangnya 40 mayat termasuk beberapa orang kanak-kanak di utara Gaza.
Operasi Cast Lead yang dimulakan Israel sejak 27 Disember lalu, ditamatkan oleh Olmert pada hari ke-22 serangan semalam dan telah meragut sekurang-kurangnya 1,245 nyawa dan 5,300 yang lain cedera.
Sebanyak 700 daripada jumlah korban adalah orang awam termasuk lebih 400 orang kanak-kanak.
Di pihak Israel, hanya tiga orang awam dan 10 askar terbunuh akibat pertempuran dan serangan roket. - Agensi

No comments: